Thursday, 31 May 2018

Amalan Menabung Emas

Pendahuluan
Sejak umur kanak-kanak lagi, kita diajar dengan amalan menabung. Setiap adik-beradik akan dapat sebuah tabung dan mengisinya dengan lebihan wang saku. Setelah tabung penuh, duit tersebut akan pergi kepada dua jalan: dibelanjakan atau disimpan di dalam bank.


Masa kecil dahulu, susah nak meminta ibu bapa beli permainan mahal. Makanya, menabung duit adalah alternatif untuk memperoleh permainan idaman tersebut. Duit hangus dibelanjakan begitu sahaja.


Untuk mengelak daripada duit dibelanjakan, duit tabung tersebut dibawa ke institusi kewangan untuk disimpan. Justeru, kanak-kanak akan melupakan terus untuk membelanjakan simpanannya kerana duit tabungnya ‘dibekukan’ di dalam bank.


Apabila kanak-kanak sudah meningkat umur dewasa, mereka sudah pandai menggunakan khidmat perbankan atas talian dan ATM. Duit di dalam bank tidak terjamin untuk kekal disimpan di situ. Apa lagi cara untuk ‘membekukan’ wang simpanan untuk mengelakkan duit daripada dibocorkan?

Menabung Dengan Emas
Ada dua sebab utama kenapa kita anak muda kena menyimpan duit dengan emas:
1. Duit senang habis
Tabiat menyimpan duit itu bagus, tetapi tak bagus kalau duit yang disimpan itu ‘terguna’ di merata tempat. Kalau dulu zaman kanak-kanak kita ‘bekukan’ duit di dalam bank, sekarang kita upgrade cara simpan duit: kita ‘bekukan’ duit dengan emas.

Kalau di beg dompet kita ada RM200, mudah sahaja untuk kita habiskan dengan berbelanja. Tetapi, jika kita ada emas bernilai RM200 di dalam dompet, tiada siapa akan terfikir untuk berbelanja dengan emas tersebut. Mindset rata-rata orang adalah ‘emas itu untuk disimpan’ bukan digunakan. Secara tak langsung, menyimpan emas menghalang kita dari kebocoran duit dan sebagai cara untuk jadikan duit sebagai ‘forgotten saving’.

Emas juga boleh didapati dengan simpanan yang kecil, berbanding dengan melaburkan duit dengan hartanah yang memerlukan modal yang lebih besar. Justeru, golongan yang masih belajar juga berpeluang untuk memiliki emas. Emas boleh dikumpul sedikit demi sedikit seperti mana kita menabung duit. Kalau dahulu kita berlumba dengan adik-beradik tabung siapa paling berat, sekarang boleh berlumba emas siapa paling banyak.

2. Emas penyimpan nilai yang baik sepanjang zaman
Satu dinar emas pada zaman Nabi Muhammad s.a.w mampu membeli seekor kambing. Hari ini, harga seekor kambing masih mampu dibeli dengan satu dinar emas. Kuasa beli emas tidak susut sejak lebih 1400 tahun. Namun begitu, jika dibeli dengan wang ringgit, harga barangan pada zaman 1990-an lebih murah daripada hari ini. Bukan kerana harga barang yang naik, tetapi kuasa beli yg menurun. Untuk mengekalkan kuasa beli, alangkah baiknya duit tersebut ditukar dengan emas.

Contoh, jika anda berhajat untuk mengadakan majlis perkahwinan bernilai RM10k pada 5 tahun akan datang. Saya secara peribadi percaya bahawa nilai RM10k pada 5 tahun akan datang adalah rendah daripada sekarang. Jika sudah ada tabungan sebanyak RM10k, saya sarankan duit tersebut ditukar menjadi emas untuk mengelakkan nilainya daripada turun. Di samping kita ‘bekukan’ nilai RM10k daripada menurun, kita dapat mengelak daripada ‘ter’guna duit untuk kepentingan lain. Setelah 5 tahun, anda keluarkan tukarkan semula emas dengan duit, pasti anda akan dapat nilai lebih daripada RM10k. Ini bukan bermakna nilai emas itu yang naik, sebenarnya nilai duit kertas yang menurun.

Menurut cerita YB Husam Musa, bapa mertuanya pernah jatuh miskin dua kali; kali pertama miskin berjaya diatasi dengan memulakan perniagaan berbekalkan modal emas oleh ibunya. Beliau memiliki berguni guni duit pisang semasa permerintahan Jepun. Setelah Jepun kalah, duit pisang tersebut langsung tiada nilai lalu beliau jatuh miskin semula. Alangkah baiknya sekiranya duit pisang tersebut ditukar siap-siap dengan emas sebelum kekalahan Jepun.

Duit kertas yang ada pada kita sekarang tidak bersandarkan kepada emas, bahkan tiada kena mengena langsung sejak Amerika memutuskan hubungan antara US Dollar dengan emas pada tahun 1971 dan melanggar perjanjian Bretton Woods pada 1944. Sejak itu, dollar dicetak sesuka hati. Oleh sebab itu, Tun Mahathir pernah menggagaskan penggunaan emas sebagai matawang antarabangsa, kerana emas adalah matawang yang paling adil tanpa sebarang penipuan dan spekulasi.

Penutup: Simpan Emas Sebelum Terlambat
Tak perlu tunggu harga emas rendah baru nak beli emas. Kita takkan pernah tahu bila harga emas akan turun. Pada tahun 2006, sedinar emas diperoleh dengan RM300 sahaja, hari ini (31 Mei 2018) sedinar emas diperoleh dengan RM782 !

Kita tidak tahu bila lagi zaman kejatuhan wang akan berlaku lagi. Sebaiknya, kita sediakan payung sebelum hujan. Wang emas sememangnya bertahan ketika gawat.

Rujukan:
  1. Wang Emas: Bertahan Ketika Gawat tulisan Mohd Zulkifli Shafie
  2. Nota Asas Pelaburan Emas tulisan Muhd Nur Haqim Ariffin
Reactions:

0 positive feedback: