Thursday, 11 February 2016

Istiqamah

Dikatakan bahawa dalam banyak-banyak wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W, wahyu yang paling berat adalah wahyu tentang ISTIQAMAH.

Bukan tentang azab neraka, seksa kubur, dan seangkatan dengannya

Sehingga tumbuh 13 helai uban di kepalanya.

"Fastaqim kama umirta..." surah Hud, ayat 112.

Kenapa begitu berat sekali wahyunya?

Ketahuilah bahawa istiqamah itu sangat susah.

Dengan hati berbolak baliknya. Allah.

Tahu kenapa ada pengikut kepada pemimpin Islam membelot setelah mendapati pemimpin itu salah? Sebab dia tak istiqamah dan bersabar.

Well. Cerita di bawah sangat menarik perhatian, sumber daripada majalah Solusi tulisan ustaz Pahrol Juoi. Di copy paste oleh sahabat saya di WeChat
🔹🔹🔹🔹🔹🔹🔹🔹🔹

SAYONARA SEORANG ISTERI

" Sudah berapa lama tuan memeluk Islam? " tanya saya pendek.
" 20 tahun, " jawab lelaki berbangsa India itu ringkas.
" Semua keluarga turut masuk Islam? "
" Semua, tetapi tidaklah berturut-turut. Termasuk Ibu bapa saya," jawabnya sambil tersenyum.
" Yang paling akhir? "
" Ibu dan bapa saya. Baru sebulan yang lalu."
" Alhamdulillah! "
" Tetapi Ibu saya baru sahaja meninggal dunia. Kira-kira dua minggu yang lalu."

Saya terkejut. Maksudnya, baru sangat. Tentu dia masih dalam kesedihan.
" Masih sedih..." Kata saya perlahan sambil mengusap bahunya.
" Sedih sedikit sahaja. Gembira lebih banyak."

Wah, jawapan itu sangat aneh. Tentu ada cerita di sebaliknya.
" Mengapa tuan gembira? "
" Panjang ceritanya..."

Saya memberi isyarat berminat untuk mendengar kisahnya. Mungkin kerana itu dia mula bercerita. Lancar dan lurus tanpa tersekat-sekat. Seolah-olah episod demi episod sudah tersusun kemas dalam minda dan perasaannya.
Menurutnya, dia memeluk Islam hasil dakwah seorang wanita. Dengan cinta? Tidak. Hanya dengan akhlak seorang wanita Islam yang bekerja sebagai akauntan di pejabatnya.

" Saya tertarik kepada akhlaknya. Begitu sopan, begitu empati dengan kawan sekerja dan cekap pula melaksanakan tugas. Sungguh. Saya jatuh cinta pada kecantikan budinya. "
" Bagaimana menyatakannya? "
" Cinta sentiasa ada cara untuk dinyatakan. Melalui seorang kawan rapat saya menyatakan hasrat. "
" Belum Islam? "
" Belum. Itulah cinta. Buta. Saya akui, cinta kepada wanita itu lebih dulu datang, sebelum cinta kepada Islam.itulah saya. "
" Subhanallah. Menarik. Bagaimana reaksinya?"
" Dia menjawab, bakal suami saya hanya seorang Muslim. Saya tahu, itu syaratnya. Lantas saya katakan kepadanya, masih melalui orang tengah, beri saya masa secukupnya untuk memeluk Islam. Saya rasional, saya tidak ikut-ikutan. Saya perlu berfikir. "
" Dia beri cukup masa untuk berfikir? "
" Ya, bukan hanya untuk berfikir. Tetapi untuk belajar tentang Islam. Saya sememangnya sudah sekian lama menyimpan hasrat untuk memahami Islam. Bukan kerana hendak menganutnya, tetapi kerana minat saya yang mendalam pada ilmu. Bagi saya ilmu-ilmu dalam Islam sangat menarik untuk diterokai."
" Jadi Islam hanya dipelajari untuk diketahui, bukan untuk diyakini? " tusuk saya.
" Mula-mula begitu lah. Tetapi lama-kelamaan, ilmu-ilmu itu telah membentuk keyakinan saya. Mula-mula hanya kerana wanita, tetapi akhirnya jatuh cinta kepada Pencipta wanita. "
" Begitu mudah? "

" Tidak juga. Saya berfikir lama. Hati saya selalu bertanya apa yang menyebabkn seorang wanita begitu 'terbuka' ketika auratnya tertutup. Dia sangat terbuka dalam pemikiran, pergaulan dan pekerjaannya. Mudah didekati tetapi sangat menjaga diri. Bagi saya tentu ada sesuatu dalam dirinya yang menjadikn dia begitu."
" Berapa lama?"
" Hampir dua tahun."
" Dia sabar menunggu?"
" Bukankah saya katakan, dia wanita yang sangat setia dan patuh pada janji?"
" Wah! Itu cinta pertama?"
" Pertama pada dia. Tetapi tidak pada saya. Saya pernah jatuh cinta kepada wanita lain sebelumnya. Pada dia cinta pertama, pada saya cinta utama. Dalam banyak2 cinta, cinta itulah yang paling suci dan unik."
" Perkahwinan meriah? "
" Meriah. Sangat meriah. Sederhana tetapi penuh makna. Ceria. "

Hampir saya terlupa pada cerita ibunya. Supaya tidak terlupa, saya terus bertanya,  "itu cerita isteri, tadi kita bermula dengan cerita Ibu."
" Cerita Ibu dan isteri saya sangat berkaitan."

Saya minta dia bercerita terus. Saya mahu belajar daripadanya. Bagi saya dia seorang istimewa. Tentu sekali isteri atau Ibu atau kedua-duanya sekali istimewa. Bukankah di sebalik seorang lelaki yang hebat, pasti ada seorang wanita yang hebat?

" Setelah bernikah, saya lebih mendalami agama. Saya dan isteri terus belajar dan belajar. Ada kalanya cuti tahunan kami dihabiskan untuk belajar ilmu agama. Kami kemudian mengerjakan umrah dan akhirnya dapat mengerjakan haji. Anak-anak kami di didik untuk mendalami agama sejak kecil. Alhamdulillah, dua daripada tiga anak kami hafiz."
" Bertuah. InShaaAllah, isteri tuan seorang isteri yang solehah. Boleh saya dan keluarga ziarah rumah tuan untuk bertemu dan berkongsi pengalaman dengannya?"
" Tidak boleh. Maaf. Tidak boleh. "

Saya sangat terkejut. Ditolak mentah begitu sahaja? Pantas saya bertanya, "Mengapa? "

" Kerana dia telah meninggal dunia dua tahun lalu. Sakit barah. Barah rahim. Sewaktu barah dikesan sudah tahap yang kritikal. Tidak dapat diubat lagi. Sebulan kemudian dia meninggal..."

Terkejut. Daripada rasa terkilan, bertukar tiba-tiba kepada rasa sedih yang mendalam. Betul, jangan cepat buruk sangka, detik saya dalam hati. Sekarang saya seperti dapat merasakan sendiri rasa kehilangan srikandi cintanya itu. Betapa hebatnya rasa kehilangan seorang isteri yang telah memberi cahaya mata dan cahaya hati.

Dia mengesat matanya yang mula berair. Sungguh, saya turut merasainya. Isteri ialah jantung hati kita. Dia pergi, separuh diri kita juga seolah-olah hilang. Cinta kepada isteri ialah cinta kerana Allah yang sangat besar impaknya dalam kehidupan.

" Tetapi satu kematian yang indah. " tiba-tiba dia bersuara.
" Kematian yang indah? Bagaimana dia meninggal dunia?"
" Saya masih ingat menjelang waktu Asar pada hari itu dia sangat tenat. Saya duduk menemani di sebelahnya. Dia merayu untuk solat berjemaah bersama. Selalunya saya solat berjemaah di masjid tetapi kali ini dia benar2 tenat. Lalu saya baringkan dia di sebelah kiri di bahagian belakang saya. Dia begitu lemah. Matanya hampir terpejam. Habis solat sahaja, dia mengucapkan kalimah syahadah sebanyak 3 kali lalu terus menghembus nafas yang terakhir."
" Begitu mudah?"
" Begitulah tuan, macam sebuah drama. Sukar untuk mempercayainya jika sekadar mendengar cerita tetapi saya menyaksikannya. Itulah kematian yang indah."
" Al-Fatihah." Ujar saya. Kami sama-sama membaca surah al-fatihah dan berdoa semoga rohnya diampuni & dikasihi Allah.

" Ustaz, sebenarnya bukan saya sahaja yang tertarik kepada Islam atas sebab dia tetapi juga adik-beradik saya. Seorang demi seorang adik-beradik saya memeluk Islam apabila mula dan lama bergaul dengannya."
" Wah, mudahnya!"
" Tetapi ada juga yang susah. Ibu dan ayah saya sangat susah untuk menerima Islam. Mereka sangat keras hati. Kata-kata lembut dan akhlak isteri saya tidak cukup kuat untuk mencairkan kekufurannya. Namun ajaibnya, masih isteri saya juga yang menjadi sebab keislaman Ibu bapa saya. "
" Bagaimana?" Tanya saya tidak sabar. Inilah persoalan awal dalam perbualan kami tadi. Daripada soal Ibu bapanya teralih pula kepada soal isterinya. Benar katanya tadi, soal Ibu dan isteri nya saling berkait.

" Kami cuba pelbagai cara untuk mengislamkannya, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, isteri saya menyarankan satu cara."

Saya benar2 saspens. Menanti dengan penuh minat.

" Sayangnya, isteri saya pergi dulu sebelum sempat melihat hasil dakwahnya kepada Ibu saya," katanya tanpa memberi jawapan yang saya tunggu.
" Maksud tuan, isteri tuan meninggal dunia baru Ibu tuan memeluk Islam?"
" Ya." Jawabnya pendek.
" Apa kaedah yang disarankan oleh isteri tuan?"
" Begini, arwah isteri saya menyatakn bahawa doa anak kepada Ibu bapanya sangat mustajab. Bukan sahaja setelah Ibu bapanya meninggal dunia, bahkan semasa Ibu bapanya masih hidup lagi. Satu hari, dia sarankan saya berdoa setiap kali lepas solat dan setiap kali membaca al-Quran. Pohon kepada Allah agar diberi hidayah kepada Ibu bapa saya. "

Terpegun mendengar saranan itu, saya berfikir. Nasihat ini seperti serampang yang punya dua mata. Pertama, untuk yang berdoa agar sentiasa solat dan membaca al-Quran. Kedua, untuk yang didoakan agar mendapat hidayah Islam. Bijak sungguh arwah isteri beliau.

" Jadi tuan ikut saranan itu?"
" Ya. Saya ikut."
" Berapa lama?"
" Hampir 10 tahun. Selama itulah setiap kali selepas solat & membaca al-Quran saya doakan Ibu bapa saya. Yakni, sejak hari Allahyarham isteri mencadangkannya kepada saya. Dia meninggal dua tahun yang lalu, Ibu pula baru dua minggu yang lepas. Ertinya, dia sendiri tidak dapat melihat hasil kejayaan dakwahnya."
" Dia akan melihatnya. Bahkan dia akan melihat lebih jelas daripada kita nanti. InShaaAllah. Mudah-mudahan dia dan Ibu tuan ditempatkan dalam kalangan roh orang yang beriman. Sama2 akan ke syurga nanti."

Sungguh peristiwa itu sangat menyentuh jiwa. Dakwah yang berkesan itu dengan akhlak yang baik, kata2 yang penuh hikmah dan doa yang istiqamah. Itulah mesej di sebalik  sayonara seorang isteri.
🔹🔹🔹🔹🔹

Istiqamah hingga kemenangan

Reactions:

0 positive feedback: